Proses Respirasi Melibatkan Organ Respirasi
Organ pernafasan manusia, paru-paru, terletak di bahagian toraks yanng mana tisu-tisu halus dilindungi oleh sangkar toraks yang berotot dan bertulang. Paru-paru membenarkan pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida untuk menjalankan proses respirasi yang membolehkan manusia untuk terus hidup (Robert, A.K. et al, 2019). Tekanan udara dipam ke dalam dan keluar secara selari melalui salur udara yang dikenali sebagai trakea
Sebelum udara memasuki trakea, udara terlebih dahulu akan memasuki mulut atau hidung, kemudian akan memasuki larinks. Apabila udara telah melalui trakea, maka udara kemudiannya akan memasuki bronkus, bronkiolus dan juga alveolus. Semasa di alveolus, gas oksigen dan karbon dioksida akan bertukar dan proses ini dikenali sebagai proses pertukaran gas. Struktur alveolus yang unik membenarkan proses pertukaran gas berlaku dengan pesat. Antara adaptasi alveolus untuk mengoptimumkan proses pertukaran gas adalah alveolus mempunyai dinding nipis setebal satu sel di mana membenarkan proses resapan gas antara membran berlaku dengan mudah.
Tambahan, paru-paru juga mengandungi jutaan rongga udara yang dikenali sebagai alveolus dan adaptasi ini menyediakan permukaan yang lebih besar untuk proses pertukaran gas. Selanjutnya, dinding dalam alveolus disertakan dengan dinding epitelial yang lembab di mana membolehkan gas oksigen dan karbon dioksida diserap dengan mudah melalui dinding epitelial. Akhir sekali, dinding alveolus diselaputi dengan kapilari darah yang banyak dan hal ini membolehkan pertukaran gas berlaku dengan kerap dan lancar (BBC, 2019).
